Ucapan Aluan oleh En Nik Mohamed Din Bin Nik Musa, Ketua Pengarah Labuan FSA Sempena Taklimat Khas Berkenaan Dengan Pelaksanaan E–Invois
Taklimat Khas Berkenaan Dengan Pelaksanaan E – Invois

Ucapan Aluan

Yang Berusaha Encik Nik Mohamed Din Nik Musa
Ketua Pengarah, Labuan FSA

7 Disember 2023
Auditorium LIS, Labuan

Bismillahirrahmanirrahim…

YBrs En. Shaharudy Othman, Pengarah Operasi Cukai LHDN HQ
YBrs En. Azrul Hisham Shamsudin, Pengarah LHDN Negeri Sabah,
YBrs En. Hairul Samsudin, Pengarah LHDN Labuan,
Datuk Iskandar Nuli,
Pengerusi-pengerusi Persatuan Industri Labuan IBFC,
Datuk Chin Chee Kee,
Saudara-saudari, rakan sekerja di LHDN dan Labuan FSA,

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera,

1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir dalam taklimat ini mengenai pelaksanaan E-Invois, yang dianjurkan oleh Labuan FSA, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Persatuan-Persatuan Industri Labuan IBFC. Kehadiran anda semua amat dihargai. Saya juga ingin mengucapkan selamat datang ke Labuan terutamanya bagi yang dari luar Labuan dan membelanjakan wang anda di sini agar dapat merancakkan ekonomi Labuan dan tingkatkan hasil bagi kutipan cukai Labuan.

2. Taklimat hari ini, akan menerangkan dengan lebih terperinci mengenai konsep dan pelaksanaan sistem E-Invois. Taklimat akan disampaikan oleh YBrs. Dr. Rasyidah Binti Che Rosli, Pengarah Seksyen, Bahagian Dasar & Pemantauan Operasi, Jabatan Operasi Cukai, Ibu Pejabat LHDNM. Saya yakin, setelah mendengar taklimat yang akan disampaikan oleh Dr. Rasyidah, kita akan lebih memahami keperluan pematuhan dan implikasi terhadap keperluan E-Invois, terutama dengan penerangan mengenai "Garis Panduan E-Invoicing" dan cadangan pindaan dalam Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2024 oleh YAB Menteri Kewangan.

3. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pelaksanaan sistem E-Invois akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun 2024. Ini membawa perubahan ketara dalam cara kita menjalankan perniagaan dan urusan pentadbiran, tidak hanya di kalangan Entiti Labuan tetapi juga di seluruh negara. Saya faham, mungkin kita lebih suka menerima e-duit raya daripada e-invois, tetapi inilah realiti dunia perniagaan moden!

4. Labuan IBFC, sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa yang berdaya saing, perlu berada di barisan hadapan dalam menerima teknologi baru demi memastikan keberlanjutan dan daya saingnya. Pelaksanaan sistem E-Invois bukan hanya perubahan teknologi semata-mata, tetapi juga satu bentuk komitmen untuk meningkatkan piawaian operasi perniagaan serta pematuhan cukai, sekaligus langkah strategik untuk menyahut cabaran global dan membentuk ekosistem perniagaan yang lebih progresif dan efisien.

5. Pelaksanaan teknologi baharu ini bukan sahaja melibatkan perubahan proses, tetapi juga adaptasi kepada evolusi global dalam piawaian dan pematuhan cukai. Langkah ini memastikan Labuan IBFC terus menjadi destinasi pilihan untuk pelaburan global dengan memenuhi piawaian dan amalan berhemah antarabangsa dan mengukuhkan reputasinya sebagai pusat kewangan yang cekap, efisien, dan telus. Berikutan daripada iklim perniagaan yang kondusif dan rangka perundangan yang berdaya saing, industri IBFC kembali berkembang pesat. Kini, terdapat lebih daripada 900 entiti berlesen dan lebih kurang 5,000 syarikat Labuan yang aktif. Seringkali kita dengar tentang dahulu bilangan syarikat sebanyak 18,000, dan untuk makluman para hadirin angka ini merupakan kumulatif sejak 1990 (running number). Lumrahnya, syarikat-syarikat akan ditutup dalam jangka masa yang pendek, ada juga syarikat yang “struck off” atau yang “dormant”. Selain daripada itu, banyak syarikat yang tutup semasa pandemik covid.

6. Juga, sumbangan kepada kutipan cukai pendapatan oleh industri Labuan IBFC telah melepasi ambang RM1 bilion untuk 2023 beberapa bulan lalu. Angka ini dijangka akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan bilangan entiti Labuan yang kini sedang berkembang. Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan LHDN dalam cadangan mendapatan insentif cukai 0% selama 5 tahun bagi entiti Labuan yang menjalankan aktiviti kewangan Islam.

7. Sebagai penutup, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada LHDN atas pengaturcaraan taklimat ini untuk dialog dan kerjasama. Saya berharap agar kita dapat bersama-sama menerokai dan memahami dengan lebih mendalam faedah serta cabaran yang dibawa oleh era E-Invois ini. Melalui kerjasama dan pemahaman bersama, kita pasti dapat membawa Labuan IBFC ke puncak kecemerlangan dan kejayaan yang lebih tinggi. Labuan FSA, sebagai pengawal selia dan penyelia yang kompeten bagi industri Labuan IBFC, akan terus memastikan rangka kerja undang-undang dan penyeliaan IBFC berada di tahap kukuh dan mantap.

8. Akhir kata, saya menggalakkan anda untuk berinteraksi secara aktif, terutamanya semasa sesi soal jawab, dan berharap anda akan menggunakan platform ini untuk menyelesaikan sebarang ketidakjelasan atau kekeliruan. Tak lengkaplah kalau tiada pantun sebelum saya akhiri ucapan saya, izinkan saya:
Ulik mayang nyanyian asli,
dilagu si gadis merdu sekali,
e-invoicing idea bestari,
LHDN berinovasi jana efisiensi
Ke Cameron Highlands untuk bercuti,
sempat menjamah buah strawberry,
E-invoicing satu inovasi,
Syabas LHDN terajui modernisasi.

Terima kasih. Wabillahitawfik walhidayah…
wasalam warahmatullahi wabarakatuh.

Encik Nik Mohamed Din Nik Musa
Ketua Pengarah, Labuan FSA
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup2