Yang Berusaha Puan Che Nazli binti Jaapar, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia,
Yang Berusaha Encik Shahruddy Othman, Timbalan Pengarah, Jabatan Dasar Percukaian
Yang Berusaha Encik Shamrol Azly Azmi, Pengarah Seksyen, Pejabat Pengarah Negeri Sabah
Yang Berbahagia Datuk Chin Chee Kee, Pengerusi ALTC
Pegawai-Pegawai kanan MOF
Pegawai-Pegawai kanan LHDN
Pegawai-Pegawai kanan Labuan FSA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat datang.
1. Pertama sekali, syukor ke hadrat iLahi kerana dengan limpah kurniaNya selamat sampai para hadirin sekalian dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu dan dapat kita bertemu di pagi yang mulia ini.
2. Ucapan syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Dasar Percukaian LHDN, Labuan FSA, LHDN Cawangan Labuan dengan kerjasama Pejabat Pengarah Negeri Sabah serta MOF di atas kerjasama dalam menganjurkan bengkel Labuan LAB 2.0 yang kali ini diadakan di Labuan. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk menyampaikan maklumat terkini mengenai isu-isu berkaitan percukaian serta menyebarluaskan strategi teras percukaian iaitu pematuhan, kesedaran cukai dan pendidikan cukai kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat. Labuan LAB 2.0 ini juga merupakan susulan daripada Labuan LAB 1.0 yang telah diadakan pada 16-18 Mac 2022 di Putrajaya. Saya percaya bahawa bengkel ini merupakan platform yang terbaik bagi memupuk kerjasama yang lebih erat di antara agensi iaitu MOF, LHDN dan Labuan FSA. Ini adalah manifestasi komitmen mampan pihak MOF, LHDN dan Labuan FSA dalam usaha memelihara tahap daya saing Labuan.
Para hadirin sekalian,
3. Untuk makluman, selepas lebih tiga dekad beroperasi, Labuan IBFC telah berkembang menjadi pusat kewangan antarabangsa yang menarik, dinamik dan berdaya saing. Labuan IBFC kini teguh berdiri dalam menghadapi pelbagai cabaran dan kejutan luaran dan muncul sebagai salah satu hab pelaburan dan perniagaan pilihan di Asia. Dalam menghadapi perubahan dan cabaran dari pasaran luar, Labuan IBFC tetap kekal relevan dan masih dapat menarik pelabur-pelabur antarabangsa. Ini jelas ditunjukkan di mana Labuan IBFC telah berkembang begitu pesat dari segi saiz pasaran dan perniagaan yang semakin kompleks. Entiti di Labuan IBFC telah berkembang lebih daripada sepuluh kali ganda sejak penubuhannya iaitu daripada 80 entiti yang dikawalselia dan kini mempunyai 880 entiti kewangan antarabangsa dan serantau sehingga hari ini. Sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa yang truly international, Labuan IBFC kini mempunyai lebih daripada 5,100 syarikat yang aktif dari 125 buah negara, termasuk beberapa entiti yang dimiliki oleh institusi kewangan antarabangsa yang terkenal.
4. Bagi tahun 2021, industri Labuan IBFC yang merupakan majikan kolar putih terbesar di Labuan melebihi 6,000 pekerja di mana 15 peratus asal dari Labuan, telah menyumbang sebanyak 60% (atau RM5.1 bilion) kepada KDNK Labuan dan telah menunjukkan kedayasaingan Labuan IBFC. Labuan IBFC telah memenangi anugerah “Top International Captive Domicile of 2021” di European Captive Review Awards yang telah diadakan di Luxembourg pada 9 November 2021, mengatasi Guernsey, Delaware, Singpura dan Hong Kong. Penganugerahan ini kepada Labuan IBFC membuktikan bahawa pasaran insurans kaptif di Labuan IBFC semakin berkembang di peringkat global dan dikawalselia dengan baik. Kini terdapat 63 kaptif di Labuan IBFC. Foundation (yayasan) dan trust (amanah) yang boleh juga digunakan sebagai struktur bagi pengurusan harta (wealth management) terutama bagi individu bernilai tinggi bersih (high networth individual) di rantau ini di mana pusat seperti Singapura tiada struktur yayasan untuk pengurusan harta. Penawaran ini boleh didapati dalam struktur pematuhan Shariah. Kini terdapat 174 yayasan yang sedemikian yang digunakan untuk pengurusan harta.
5. Industri tertua di Labuan iaitu perbankan telah mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 128 peratus dari segi keuntungan atau profits bagi 2021, kenaikan dari USD120 juta setahun sebelum kepada USD274 juta. Kenaikan harga minyak dan komoditi lain juga telah menaikkan keuntungan syarikat komoditi antarabangsa Labuan sebanyak 315 peratus kepada USD3.5 ribu juta bagi tahun 2021. Syarikat digital dan fintech kini mencecah melebihi 90 entiti. Ini adalah testimoni komitmen Labuan FSA untuk menaikkan tahap perniagaan di Labuan IBFC untuk mempertingkatkan pulangan atau sumbangan koleksi kepada negara.
Para hadirin sekalian,
6. Pada 16 Jun 2022, Labuan FSA telah berjaya melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan bagi tahun 2022 sehingga 2026 di mana ia dilancarkan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul, Menteri Kewangan Malaysia. Ini merupakan sebuah lagi kejayaan bagi Labuan FSA dalam memacu pembangunan dan kemajuan Labuan IBFC dalam tempoh lima tahun akan datang. Aspirasi utama di bawah Pelan Hala Tuju Strategik 5 tahun ini adalah untuk mengubah Labuan IBFC menjadi pusat antarabangsa yang dinamik dan mampan yang menghubungkan serta menyokong pertumbuhan ekonomi pasaran Asia dan menyumbang kepada ekonomi negara. Labuan IBFC mempunyai visi untuk memainkan peranan yang penting sebagai hab penjanaan dana dan pelaburan dalam ruang digital global yang patuh Syariah. Bagi tujuan ini, Labuan IBFC dijangka melihat pelancaran digital asset exchange patuh Syariah yang pertamanya pada suku ketiga tahun ini. Dengan undang-undang dan peraturan yang lengkap dan komprehensif, Labuan IBFC mampu menarik lebih ramai pemain aset digital dan fintech ke Labuan terutama sekali pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan negara-negara jiran.
7. Pada tahun kelima Pelan Hala Tuju Strategik, Labuan IBFC dijangka akan memberi sumbangan yang lebih besar terhadap ekonomi negara termasuk peningkatan dalam nilai fiskal dan pendapatan negara. Bergabung dengan hala tuju ini dan berdasarkan perkembangan semasa, Labuan IBFC dijangka akan mewujudkan sebanyak 2,400 peluang pekerjaan baru dalam masa 5 tahun akan datang. Labuan IBFC juga akan dapat meningkatkan keterampilan dan keyakinan pelabur terhadap Labuan IBFC melalui AML/CFT yang moden dan berasaskan risiko serta peraturan cukai yang mematuhi piawaian OECD.
Para hadirin sekalian,
8. Setelah perubahan yang besar yang dilakukan kepada rangka kerja percukaian Labuan pada 2019, terutamanya dari segi keperluan substantif di Labuan, usaha seterusnya adalah memastikan keperluan memantau serta memudahkan pematuhan industri untuk memastikan perniagaan yang sah; menikmati faedah percukaian yang rendah di Labuan; dan bekerjasama dengan pihak LHDN dan MOF termasuk memastikan perlaksanaan BEPS 2.0 dilakukan dengan perancangan yang teliti dan strategi perlaksanaan yang tepat sambil mengekalkan daya saing perniagaan untuk Labuan IBFC.
9. Seperti yang sedia maklum, setiap pelaksanaan peraturan baharu semestinya mempunyai cabarannya yang tersendiri terutamanya dalam aspek pelaksanaan. Oleh itu, Bengkel 2.0 ini amat signifikan untuk kita saling memahami dan menyelesaikan isu-isu berbangkit terutama isu-isu yang telah dibangkitkan semasa Bengkel Labuan 1.0. Perubahan ini bukan sahaja berlaku di Labuan, malah di pusat kewangan lain di seluruh dunia. Perubahan rejim percukaian baharu ini juga dijangka akan mewujudkan sebuah model perniagaan yang mampan, di samping meningkatkan lagi sumbangan Labuan IBFC kepada negara amnya dan kepada Pulau Labuan.
10. Sebelum mengakhiri ucapan ini, bagi pihak Labuan FSA, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan bengkel pada hari ini. Semoga sesi ini akan memberikan manfaat untuk semua dan kita mampu mencapai objektif yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang pertama kali ke Labuan dan melihat dengan sendiri keindahan dan daya tarikan semulajadinya dan rekabentuk bangunan yang moden akan terasa teruja untuk membantu dengan lebih gigih bagi kemajuan Labuan IBFC. Yang pernah ke Labuan, saya ucapan selamat kembali dan harap pengalaman kali ini adalah lebih memorable bagi anda.
Sekian terima kasih, wabilhitaufik walhidayah wassalam w.r.t.