Majlis Menandatangani Dokumen Serta Upacara Penyerahan Bangunan Baru
UCAPAN

KETUA PENGARAH LABUAN FSA
MERANGKAP PENGERUSI PRISTINE ERA SDN BHD
ENCIK AHMAD HIZZAD BIN BAHARUDDIN

PADA 7 OGOS 2012

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dan Salam sejahtera 

Yang Berusaha (Ir). Encik Mohd Noor Azudin Mansor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, JKR Cawang 
Kejuruteraan, Struktur Awam & Jambatan

Yang Berusaha (Ir) En Haji Asraruddin Jaafar, Pengarah JKR, Wilayah Persekutuan Labuan

Yang Berusaha Ir. En Norazmi Hj Razli, Ketua Penolong Pengarah, JKR Cawangan Pendidikan dan Pengajian Tinggi 

Yang Berusaha Puan Zainab Batin, Pengetua, Sekolah Antarabangsa Labuan
 
Tuan-tuan dan Puan-puan,

Terlebih dahulu, bagi pihak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir di majlis petang ini. Syukur juga ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama menyaksikan majlis ini, tandatangan dokumen antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Labuan FSA menandakan penyerahan rasmi bangunan baru Sekolah Antarabangsa Labuan (SAL) kepada Labuan FSA.

Kesyukuran kita juga kita panjatkan kepada Allah Taaala ke atas pertolongan dan limpah kurniaNya kita dapat membangunkan dan menyiapkan bangunan SAL yang tersergam indah di pulau Labuan ini, walaupun projek ini mengalami pelbagai cabaran semenjak ia bermula pada bulan Julai 2009. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan komitmen daripada semua pihak, kini terhasil sebuah institusi pendidikan unggul dengan prasarana yang mampu melahirkan pelajar-pelajar berkualiti dan berdaya saing di Labuan.


Tuan-tuan dan Puan-puan,

Bangunan baru SAL ini adalah bangunan terbaru yang siap di Labuan dan kita harus berbangga dengan bangunan ini yang kemas dan cantik, sama ada dari segi “workmanship” mahupun kelengkapan yang disediakan di sekolah ini. Untuk makluman semua, bangunan SAL dilengkapkan dengan pelbagai peralatan pembelajaran moden untuk kegunaan dan keselesaan para pelajar serta kakitangan SAL. Saya kira usaha ini adalah hasil yang baik dan tekun dari pihak JKR untuk memastikan bangunan ini memenuhi spesifikasi yang telah ditetapkan. Dengan itu saya ucapkan tahniah dan syabas!

Saya difahamkan, auditorium SAL dilengkapkan dengan peralatan audio visual yang canggih dan standing, kalau tidak lebih, dengan peralatan audio visual di lain-lain sekolah di Malaysia atau pun auditorium badan korporat. Dengan prasarana ini, saya yakin ianya akan memberikan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi pelajar-pelajar SAL mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam aspek ilmiah dan seni. Ini merupakan salah satu usaha dan komitmen pihak Kerajaan bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang terkini dan canggih kepada rakyat, khususnya, kepada komuniti pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa (IBFC) di Labuan. Pihak Labuan FSA juga berharap kemudahan-kemudahan ini dapat membantu sistem pembelajaran bagi melahirkan lebih ramai pelajar dan modal insan berkaliber dihasilkan bagi menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara.

Justeru itu, saya bagi pihak Labuan FSA ingin merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak JKR atas segala usaha dan kerjasama yang telah diberikan. Begitu juga kepada kakitangan Labuan FSA dan SAL, serta semua yang telah terlibat, secara langsung dan tidak langsung, sepanjang pembinaan bangunan ini. Turut tidak dilupakan juga kepada pihak Kementerian Kewangan Malaysia atas sokongan dan pembiayaan projek ini. Terima kasih dan saya harap kerjasama ini dapat diteguhkan lagi di masa masa hadapan dan saya berharap sebarang salah dan silap dan ada kiranya tersinggung bahasa dan kata sepanjang projek ini dapatlah kita sama-sama lupa dan maafkan.

Saya percaya, komplex baru SAL akan menjadi mercu tanda yang membanggakan bagi penduduk Labuan dan mampu menarik lebih ramai pelajar dari luar, sekaligus merealisasikan matlamat kerajaan untuk membangunkan Labuan sebagai sebuah pusat institusi perniagaan dan kewangan antarabangsa yang progresif.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak JKR dan Kementerian Kewangan ke atas kerjasama dan usaha gigih untuk membangunkan Sekolah Antarabangsa Labuan yang baru ini. Saya berharap dan mendoakan supaya segala kemudahan yang ada di SAL dapat di manfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan komuniti di Labuan.


Sekian Terima kasih.

Wabillahi taufik wal hidayah, Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Copyright © Labuan FSA 
Ooops!
Generic Popup2